Usai sudah satu semester daku bersyarah. Banyak perkara yang sudah pasti daku pelajari dan alami. Ya kerjaya ini bukanlah semudah yang disangka di sebalik ’senangnya’ bagi sesetengah orang. Apa yang pasti daku amat bersyukur dan bertuah di atas kerjaya daku kini.

Hidup ini ada naik dan turunnya dan daku tidak terkecuali dari itu. Sepertimana seseorang adakalanya hilang tumpuan dan mood yang kurang memberansangkan itu aku melaluinya sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi semasa cuti semester yang agak sunyi di sini. Bisa saja membunuh semangat dan lalai dalam kestabilan yang ada.

Seorang kawan menelefon mencetuskan satu perasaan lain.

‘Mal, ada tak jawatan kosong pensyarah? Aku dah bosan duduk KL, kerja pendakwa bertimbun, gaji ciput’ rayunya padaku.

‘Kenapa nak jadi pensyarah?’ getus daku.

‘Aku nak balik tempat asal aku, lagi pun aku tengok kerja ko ni macam rilek je, tak stress macam DPP.’ ujarnya lagi.

Daku menghela nafas panjang. Hendak suka atau tidak daku tak mengerti. Ya suka kerana dia boleh saja menggantikan daku di sini kala daku berpindah atau ‘posting’ ke tempat lain barangkali. Namun pabila diujarkan menjadi pensyarah ini senang daku agak sebal.

Apa ingat setiap kerja itu mahu dipandang ringan kerana hanya berhadapan dengan pelajar lebih mudah diurus berbanding orang ramai atau pesalah jenayah kah?

Atau kerana masa yang fleksibel yang membolehkan kita masuk ke pejabat hatta tengah hari sekali pun maka kamu bilang kerja ini senang?

Senang atau tidak bukan menjamin kamu menyayangi kerjaya ini. Sudah ada niat yang tidak betul kala kamu mengatakan pensyarah ini kerjanya rehat dan mudah. Yang penting adakah kamu sanggup menyebarkan ilmu dan terus belajar dan belajar lagi demi sebuah kerjaya yang dianggap ‘noble’ bagi kebanyakkan umat.

‘Jadi pensyarah? Ohh tidak perlu belajar ke master dan Phd, tak mahulah’ komen rakan sebatch ku di blognya.

Kalau kamu sudah berfikiran sebegitu tidak usahlah kamu memandai-mandai mengisi borang pensyarah hatta CGPA kamu lebih 3 yang melayakkan kamu menceburi bidang ini pabila kamu berasakan hanya ijazah sarjana muda menutup segalanya untuk menambah ilmu.

Adakala daku merenung jauh bahawa ramai juga yang mahu menjadi terlalu selesa atau statik semata dengan kerjaya ini. Gaji pun agak tinggi, waktu fleksibel, masa banyak menjadi pilihan. Namun tidak sedarkah mereka bahawa terlalu selesa juga boleh membunuh minda dan fizikal kita. Terlalu selesa juga membuatkan kita alpa yang bahawa kerjaya ini semakin hari semakin dicabar dengan kepesatan ilmu dan kajian yang adakalanya terlalu pantas berlalu. Melaksanakan penyelidikan, penulisan, khidmat masyarakat wajib dilaksanakan bukan sekadar untuk kenaikan gaji dan pangkat tapi juga demi keuntungan dan kepuasan mendidik  buat anak bangsa itu sendiri.

Buat sahabat yang berminat dengan kerjaya pensyarah, semaikan di jiwa anda bahawa kita adalah pembawa contoh terbaik masyarakat, pelorong ilmu demi kebaikan anak bangsa dan perintis sesuatu inovasi untuk generasi mendatang, bukan hanya mahukan gaji yang selesa dan tiada tekanan langsung!

Kalau anda merasakan kerjaya ini sebagai batu loncatan untuk ‘rileks’ dan lari dari masalah melanda, daku boleh katakan GTH saja pada kamu.Ingat tiada apa yang mudah di dunia ini melainkan niat dan usaha yang padu untuk melaksanakannya. :)