Tertarik pada forum Utusan berkaitan kononnya kerjaya guaman dicemari agak menggeletek diriku. Daku tersenyum kambing saja pabila membaca ngomelan penulis yang nampak seolah-olah peguam ini gemar mencetuskan ‘kekacauan’ dan ‘menggugat’ kestabilan negara. Berdendam sungguh individu bernama Amir Hamzah (serupa pula namanya dengan peguam hak asasi terkenal di negara kita) terhadap kerjaya yang mulia ini. Tidak tahulah samada penulis forum yang mengaku baru balik dari luar negara merupakan ‘drop out’  mana-mana sekolah undang-undang, barangkali.

Untuk berlaku lebih adil memang tidak dinafikan kerjaya guaman selalu menjadi pilihan ramai dan tidak kurang kontroversinya. Pernah daku berkunjung ke UM untuk program “Legal Career’ bagaimana daku terkujat melihat seorang ibu memaksa anaknya pergi ke setiap ‘booth’ firma guaman untuk bertanyakan apa-apa soalan. Apa yang daku terkejut ialah cara ibu tersebut memaksa anaknya dengan suara yang agak kuat, mengarah-arah sambil menunjukkan jari telunjuknya! Ibarat seorang tuan rumah mengarah amahnya menyapu lantai mungkin. Hasilnya anak perempuannya kelihatan amat selesa dan terpisat-pisat diasak ibunya.

Di sini daku melihat peranan ibu bapa amat kuat dalam pemilihan kerjaya anak-anaknya. Namun ia akan menjadi negatif sekiranya pemilihan itu disertakan dengan paksaan dan tanpa memberi peluang anak-anak itu berdikari. Ya senang bila anak den jadi loyar kan?

Kayakah menjadi peguam? Glamer ke jadi peguam? Adakah gaya hidup Ala-ala Ally McBeal mahupun LA Law, tak pun Boston Legal? Kenapa ramai sangat nak masuk Law School dan akhirnya tidak jadi peguam pun? Semua persoalan ini akan bermain di benak pada mereka yang mahu mengambil undang-undang sebagai jurusan mereka.

Tidak dinafikan ada juga yang baik dan buruk pada kerjaya bidang guaman ini namun ini semua lebih pada sikap. Seleweng duit akaun klien, menipu, ambil kesempatan, cuai memberi nasihat itu pasti ada. Kalau dilanggar saja boleh dibuat aduan dan saluran yang betul. Tidak kira mana-mana kerjaya pun, amanah yang dipikul harus dijaga sebaiknya. Akauntan yang tidak amanah pun boleh menyelewengkan duit, peniaga tidak jujur pun boleh mengubah sukatan. Jadi menyalahkan kerjaya sebagai sesuatu yang dicemari adalah satu sikap yang pada dau tidak matang dan menjelekkan. Lihat pada individu itu sendiri bukan kerjayanya yang halal!

Seorang peguam harus jujur, amanah dan berusaha keras membela klien dan menjunjung undang-undang yang sedia ada. Pendek kata seseorang peguam mestilah dihormati dan berkelakuan baik. Cuba sebutkan pada saya kerjaya mana di dunia yang memerlukan seseorang mempunyai sijil kelakuan baik kalau tidak peguam?

Pabila membaca intipati forum tersebut agak ketara prejudis pada kerjaya guaman. Mengatakan peguam ‘berlagak pandai’ , menghuru-harakan negara dan tidak menggunakan forum sewajarnya adalah agak keterlaluan dan tidak berpijak pada bumi nyata. Daku tidak lupa pada kata-kata seorang menteri kabinet yang sudah bersara pada satu ketika dahulu bahawa peguam haruslah menumpukan pada periuk nasi bukan buat huru-hara itu dan ini adalah sesuatu yang sebal dan menampakkan kebebalannya terhadap apakah aspirasi dan matlamat kerjaya guaman. Apakah wajar kita hanya menjaga periuk nasi tanpa mempedulikan orang-orang yang teraniaya hasil daripada tangan-tangan orang yang rakus memperkosa undang-undang demi kepentingan mereka sendiri.

Tidak kira samada seorang peguam itu mahu menjunjung aspirasi idealisma ‘rule of law’ atau ‘menjaga periuk nasi,’ pro-kerajaan lawan pro-pembangkang sekalipun yang penting ialah bercakap sesuatu yang benar berlandasan undang-undang. Ya barangkali akan ada pertikaian dan perbezaan pendapat tapi rasa hormat di kalangan peguam adalah sesuatu yang istimewa dan disanjung tinggi dalam kerjaya ini. Sesuatu yang lumrah apabila bergasak berhujah di dalam mahkamah tetapi mampu duduk semeja minum teh tarik di luar. Satu ketika berlawan di mahkamah tetapi akhirnya bersama-sama dalam satu pasukan membela klien mereka.

Pokoknya di sini, setiap peguam mahupun pengamal undang-undang haruslah melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberikan untuk menyedarkan masyarakat betapa peri pentingnya kepekaan mereka terhadap hak dan undang-undang. Tidak perlu lihat jauh, isu di Perak sahaja sudah membuka mata pelbagai pihak dalam betapa peri pentingnya seseorang itu memahami undang-undang dan setakat mana ia boleh digunakan. Atau isu dalam kehidupan seharian kita sendiri sudah terlibat dnegan undang-undang dari segi celiknya mata kita, berkahwin atau menutup mata sekalipun.

Jadi mengatakan peguam mencetuskan kekacauan adalah pandangan yang amat sempit dan dangkal. Bagaimana peguam mahu mendiamkan diri kala undang-undang dan peraturan dilanggar dan dirogol sesuka hati oleh individu berkuasa? Apakah pabila peguam mengkritik keputusan hakim dianggap tidak mematuhi undang-undang dan menghina mahkamah? Sedangkan itu adalah lumrah dalam bidang perundangan yang memerlukan setiap pengamal berfikiran kritis berdasarkan kepada fakta-fakta dan bukti yang diberikan.

“When lawyers walk, that means there is something wrong.’

Barangkali kita perlu lebih adil pada kerjaya ini.