“Dik ada paper Sunday Star?’ melilau mataku melihat timbunan surat khabar.

‘ Oo encik nak cari paper omputih tu ya, takda kat sini, ada pun NST  ni, 3 naskah je’ beritahu si gadis jurujual.

Aduh kenapa di sini amat susah daku hendak mencari akhbar berbahasa Inggeris. Salah satu tabiatku setiap pagi Ahad sekiranya tidak pulang ke Seremban ialah mencari surat khabar Melayu dan Inggeris untu dibaca dan dibuat keratan sekiranya artikel itu amat bernilai.

Kita tahu surat khabar setiap ahad adalah antara yang paling popular dan dicetak dalam kuantiti yang banyak. Banyak pula ruangan dan artikel yang menarik. Sunday Star umpamanya kolum ‘Insight’ tulisan Joceline Tan akan kutunggu-tunggu dengan ulasan politiknya yang menarik.’Book review’ juga tidak kurang hebat. Tak lupa juga penulisan undang-undang yang agak banyak terutamanya di ‘Sunday Times’ dan ulasan kritikal di dalam Sunday Star.

Utusan Malaysia walaupun daku tidaklah menggemari penulisannya yang ada sesetengahnya seperti memb****  dan memp***** pembaca Melayu terutamanya namun daku akui sesetengah ruangannya agak menarik berbanding Berita Minggu. seperti  Minda Dr.Maza,  tulisan pemikiran Syed Ali Tawfik Al-Attas, Mazlan Nordin Menulis, wawancara dengan tokoh terkenal (bukan politik!). Hiburan tidak perlu dikatakanlah, penuh dengan gossip panas dan liar artis-artis yang kemaruk publisiti murahan demi menaikkan jualan album yang tidak seberapa dan bakatnya ‘nan ado’ saja. Tabloid murahan usah dibilang, memang laku saja tambahan lagi dengan isu-isu memberahikan sudah cukup untuk menarik orang membelinya.

Semuanya artikel menarik dan kolum terkenal ada pada akhbar Ahad. Namun daku amatlah ralat dengan keadaan di sini. Jangankan kesukaran daku mendapatkan Sunday Star saja berlaku malahan Jengka pada realitinya tidak mempunyai sebuah kedai buku ilmiah sekali pun! Yang tipikal buku-buku sekolah dan agama saja ada sebuah dua namun itu tidak cukup untuk sebuah bandar yang ada sebuah kampus universiti, kolej matrikulasi dan kolej swasta ini!

Aduh, sebuah bandar yang mempunyai 100% peniaga Melayu dan tidak pula membuka pada kaum-kaum lain menjadi seolah-olah bandar yang tidak mempunyai sebuah kedai buku yang betul-betul seperti MPH, Popular mahupun Borders. Malahan khabarannya Gramedia penerbit buku terbesar Indonesia terbesar sudah membuka cawangannya di Kuala Lumpur. Adakah masyarakat Melayu itu sendiri tidak mahu membaca karya-karya berat?  Atau usahawan Melayu tidak mahu menceburi perniagaan jualan buku? Kita boleh mengharapkan PTS sebagai gergasi penerbitan Melayu swasta tetapi bagaimana pula dengan dengan penjual buku tempatan terutamanya Melayu yang terbesar? Bilang pada saya mana yang mahu buka perniagaan buku ilmiah di bumi Felda ini?

Kesebalan ini sebenarnya menjadi kepelikan daku sepanjang duduk di sini. Tiada kedai buku menyebabkan daku terpaksa lari ke Temerloh ataupun ke KL saja untuk mencari buku. Nasib baik perpustakaan di sini mempunyai koleksi buku yang agak bagus ditambah dengan staf yang sangat membantu dan menggalakkan pensyarahnya mencadangkan buku untuk koleksi kutub khannah. Itu sajalah pengubat duka ku di sini.

Jadi, benarlah masyarakat Melayu ini kurang membaca bahan-bahan ilmiah dan membina minda. Kalau mencari akhbar berbahasa Inggeris saja membuatkan ku berpusing-pusing di bandar kecil ini, apa boleh diharapkan dengan buku. Barangkali statistik menunjukkan pembacaan masyarakat Malaysia semakin bertambah namun adakah ini meliputi pembacaan buku-buku imiah dan karya-karya berat?

Memetik kata-kata Dato Zaid Ibrahim dalam buku ‘Saya Pun Melayu’,  membaca Utusan Malaysia SAHAJA tidak menjana minda orang Melayu memang ada kebenarannya.  Adakah kita mahu selesa dengan keadaan ini dengan keistimewaan yang ada tanpa perlunya kita membaca untuk senaman minda?

Hanya gelengan kepala saja mampu kulakukan, sampai bila bandar ini mahu membuka mindanya daku tak mengerti…